Bagaimana Putrajaya Malaysia Boleh Dicontohi Ibukota Nusantara Indonesia?

Описание к видео Bagaimana Putrajaya Malaysia Boleh Dicontohi Ibukota Nusantara Indonesia?

YABhg. Tun Dr Mahathir bin Mohamad menerima kunjung hormat delegasi Ibukota Nusantara Indonesia yang diketuai oleh Dr Robby Kurniawan, Ketua Pengarah Kementerian Perhubungan Republik Indonesia di Putrajaya semalam.

Kunjungan hormat delegasi Indonesia ini bertujuan mendapatkan nasihat, pandangan dan perkongsian pengalaman Dr Mahathir mengenai pembangunan Putrajaya. Putrajaya antara kota yang dijadikan model rujukan kepada pembinaan Ibu Kota Nusantara di Kalimantan Timur seperti diumumkan oleh Presiden Republik Indonesia pada 2019.

Dalam pertemuan tersebut, Dr Mahathir menjelaskan sebenarnya ibu kota negara Malaysia tidak pernah dipindah dan ianya masih kekal di Kuala Lumpur. Yang dimaksudkan dengan pembangunan Putrajaya ialah membangunkan sebuah pusat pentadbiran Kerajaan Malaysia, di mana objektif asal untuk mengalih dan menempatkan kementerian Kerajaan di dalam satu kawasan.

Kedudukan kementerian-kementerian dan premis Kerajaan berselerakan sekitar Kuala Lumpur menyukarkan komunikasi, melengahkan keputusan dan perhubungan sesama kakitangan Kerajaan. Pada masa itu, Kuala Lumpur juga mengalami kesesakan dan kepadatan.

Sebelum ini antara kawasan yang menjadi pilihan pembinaan pusat pentadbiran Kerajaan ialah Janda Baik di negeri Pahang. Namun disebabkan beberapa faktor kesesuaian, ia tidak dipilih. Dr Mahathir turut menekankan, pemilihan lokasi menjadi salah satu faktor utama dalam pembinaan bandar. Putrajaya yang dahulunya dikenali sebagai estet Prang Besar dipilih kerana kedudukannya yang terletak di antara Kuala Lumpur dan Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketika ditanya tentang model bandar yang dirujuk, Dr Mahathir berkata antara bandar yang dijadikan rujukan ialah Brasilia, Islamabad, Tokyo dan Paris. Di majlis lain sebelum ini, Dr Mahathir juga pernah menyatakan bahawa salah satu bandar yang turut dijadikan model untuk Putrajaya ialah Isfahan di Iran. Kesemua bandar ini telah dipelajari bukan sahaja kebaikannya, malah kesilapan dan kekurangan di bandar itu.

Dr Mahathir memberi contoh berkenaan pembinaan jalan seperti boulevard. Boulevard ialah sebatang jalan besar sepanjang 4.2km bermula dari Perdana Putra hingga PICC. Ia diinspirasi dari Champs Elysees, Paris. Di sepanjang kiri dan kanan boulevard ini terdapat bangunan-bangunan kementerian. Sebelum ini jika di Kuala Lumpur, kedudukan kementerian berselerak dan tidak teratur, jadi apabila Putrajaya dibina, bangunan Kementerian disusun di sepanjang kiri dan kanan boulevard sekaligus menyelesaikan isu komunikasi dan perhubungan kakitangan Kerajaan.

Pada asalnya, boulevard ini tidaklah dikhaskan kepada premis Kerajaan. Dr Mahathir berpandangan bahawa boulevard ini perlu meriah seperti Champs Elysees dan Jalan Bukit Bintang yang di sekitarnya terdapat kedai-kedai, restoran dan hiburan. Orang ramai boleh berjalan-jalan dan menikmati cahaya lampu di sekitar boulevard. Namun idea itu tidak disambut kerana terdapat beberapa pandangan yang mahukan bangunan di situ dikhaskan kepada premis Kerajaan. Disebabkan itu kini, ianya sunyi di waktu malam dan hujung minggu.

Turut dikongsi Dr Mahathir ialah sistem pengangkutan di Putrajaya. Jangkaan asalnya, Putrajaya tidak mampu menampung jumlah kenderaan yang tinggi. Disebabkan itu terdapat beberapa mod pengangkutan melalui air, jalanraya dan rel dirancang. Terdapat lapisan terowong sudahpun dibina yang mana satu terowong untuk laluan tren bawah tanah, satu lagi digunakan untuk jaringan kabel komunikasi, internet. Keadaan tanah Putrajaya yang kosong memudahkan kerja-kerja menggali dan rancangan pembinaan terowong bawah tanah.

Selain itu, Dr Mahathir berkata apabila sesuatu pusat pentadbiran dibina, Kerajaan perlu juga ambil kira penglibatan sektor swasta. Apabila terdapat pusat pentadbiran baru dan tersusun, sudah tentu ini menarik minat para pelabur. Cyberjaya umpamanya, dibina bersebelahan Putrajaya. Antara tujuannya ialah mendekatkan para pelabur membuka industri dan operasi mereka yang berdekatan dengan pusat pentadbiran Kerajaan. Melalui ini, pihak pelabur akan lebih tertarik atas faktor kemudahan, akses dan infrastruktur yang disediakan. Hingga kini, jika diperhatikan di kiri dan kanan jalan sepanjang Kuala Lumpur ke KLIA dapat dilihat banyak bandar baru dan industri dibina, hasil limpahan dari pemindahan pusat pentadbiran Kerajaan ke kawasan baru.

Di akhir pertemuan, Dr Mahathir mengingatkan dalam pembinaan kota raya baru, selain meniru apa yang telah dibuat di negara lain, mereka juga perlu mempelajari kesilapan yang boleh ditambahbaik dan tidak diulangi semasa membina ibu kota baru di negara mereka kelak.

Комментарии

Информация по комментариям в разработке