Al-Syaykh Ibn ‘Arabiy (r.h.) adalah seorang tokoh pemikir yang besar dalam sejarah pemikiran Islam, khususnya dalam bidang tasawuf. Dengan meninggalkan ratusan karya, beliau mampu membentuk pengaruh yang sangat besar dalam aliran pemikiran tasawuf Islam. Pengaruhnya yang besar & pemikirannya yang dianggap kontroversi telah memaksa ulama besar berpolemik membahaskan kedudukannya & kedudukan pemikirannya dalam Islam sehingga lahirlah tiga golongan ulama. Pertama ialah golongan ulama yang membangkang, mengkritik, menyesatkannya, malah ada yang sampai mengkafirkan al-Syaykh Ibn ‘Arabiy. Kedua ialah golongan ulama yang mengambil pendirian menyokong pendapat-pendapat al-Syaykh Ibn ‘Arabiy, menganggapnya sebagai al-Syaykh al-Akbar Sultan al-‘Arifin & mereka telah berusaha membersihkan beliau daripada tuduhan-tuduhan yang mereka anggap palsu berhubungan al-Syaykh Ibn ‘Arabiy. Ketiga ialah golongan ulama yang berdiam diri tanpa memberikan sebarang hukum terhadap al-Syaykh Ibn ‘Arabiy. Sesungguhnya penulisan tentang al-Syaykh Ibn ‘Arabiy sangat mencabar & memerlukan kajian & pembacaan yang banyak & mendalam, namun masa yang terlalu terhad telah tidak memungkin penulis berbuat demikian. Justeru, tulisan ini hanya akan cuba menyingkap beberapa persoalan utama sahaja berhubung al-Syaykh Ibn ‘Arabiy seperti beberapa perkara mengenai latar diri tokoh tersebut, kedudukannya di kalangan para ulama & teori wahdat al-wujud yang seringkali dikaitkan dengannya. Sedaya upaya, dalam menanggapi pemikiran al-Syaykh Ibn ‘Arabiy, penulis cuba melihat dari kaca mata beliau sendiri & juga ahli sufi, bukannya dari kaca mata musuhnya. Penulis sendiri amat sedar tentang kekerdilan penulis untuk menanggapi pemikiran tokoh besar ini, seumpama kata Syaykh al-Islam, Syaykh al-Azhar al-Syarif al-Imam al-Akbar Prof. Dr. ‘Abd al-Halim Mahmud umpama sang kelawar mahu menduga sang singa yang hebat.
Nama: Nama penuh al-Syaykh Ibn ‘Arabiy ialah Abu Bakr Muhy al-Din Muhammad ibn ‘Aliy ibn Muhammad ibn Ahmad ibn ‘Abd Allah al-Hatimiy (daripada keturunan ‘Abd Allah ibn Hatim saudara ‘Adiy ibn Hatim al-Ta’iy.[1] Beliau dikenali dengan gelaran Ibn al-‘Arabiy (dengan awalanal-) di negeri-negeri sebelah al-Maghrib (Barat), & dengan gelaran Ibn ‘Arabiy (tanpa awalan al-) di negeri-negeri sebelah al-Masyriq (Timur) untuk membezakan antara beliau dengan al-Qadi AbuBakr ibn al-‘Arabiy.[2]
Keluarga: Beliau adalah berasal dari keturunan keluarga yang masyhur di negeri sebelah Maghrib.[3] Bapanya adalah seorang ulama fiqh & hadith, juga seorang wali Allah.[4]
Tarikh lahir: Hari Isnin, 17 Ramadan 560H (1165M) di bandar Murcia, Tenggara Andalus (Sepanyol).[5]
Pengajian: Semasa kecil, di Murcia beliau menghafaz al-Quran al-Karim. Pada ketika berusia lapan tahun (568H), beliau berpindah bersama bapanya ke bandar Isybiliyah & belajar dengan beberapa orang ulama besar. Beliau mempelajari kitab (al-Kafi) dalam bidang Qira’at Sab‘ah (Qira’at Tujuh) dengan al-Syaykh Abu Bakr ibn Khalaf & al-Syaykh Abu al-Qasim al-Syarrat. Beliau juga belajar kitab (al-Taysir - bidang Qira’at) karangan al-Imam Abu ‘Amr al-Dani dengan al-Syaykh Abu Bakr Muhammad ibn Jamrah. Beliau juga mempelajari ilmu hadith, fiqh & bahasa dengan ulama besar zaman itu seperti al-Syaykh Abu ‘Abd Allah ibn Zarqun, al-Hafidh ibn al-Jad ahli fiqh di Andalus, al-Syaykh Abu al-Walid al-Hadramiy, al-Syaykh Abu al-Hasan ibn Nasr & al-Syaykh Abu Muhammad ‘Abd al-Haqq al-Isybiliy & al-Syaykh Abu al-Qasim ibn Basykuwal & lain-lain.[6]
Dikatakan, bahawa sepanjang pengajiannya, beliau telah menguasai semua musannafat (kitab) & kuliah-kuliah pengajian yang disampaikan oleh guru-gurunya. Kebijaksanaannya sangat terserlah & bintangnya bergemerlapan berbanding teman-temannya yang lain sehinga beliau meningkat ke tahap al-Syuyukh & menjadi imam dalam ilmu ma‘qul & manqul. Sejumlah ulama besar telah mengurniakannya ijazah berhubung al-marwiyyat (hadith) & kitab-kitab karangan mereka seperti Ibn ‘Asakir, Ibn al-Jawziy, al-Hafidh al-Sulamiy, ‘Abd al-Haqq al-Isybiliy & lain-lain.[7]
Al-Syaykh al-Mufassir al-Muhaddith Isma‘il al-‘Ajluniy dalam kitab (Kasyf al-Khafa’ wa Muzil al-Iltibas ‘Amma Usytuhira min al-Ahadith ‘ala Alsinat al-Nas), daripada al-Syaykh Hijaziy al-Wa‘iz(pensyarah kitab al-Jami‘ al-Saghir karya al-Imam al-Suyutiy): bahawa al-Syaykh Muhy al-Din ibn ‘Arabiy adalah terhitung dari kalangan al-huffaz [8] (iaitu beliau adalah seorang al-hafiz).[9]
Dalam bidang tasawuf, beliau mendapat didikan daripada 55 orang syaykh. Beliau abadikan nama & biografi mereka dalam kitabnya yang berjudul al-Durrah al-Fakhirah Fi Dhikr Ma Intafa‘tu Bihi Fi Tariq al-Akhirah.[10]
Beliau juga dianggap sebagai Mujtahid Mutlaq.[11] Al-Syaykh Ibn ‘Arabiy menyatakan dalam kitabnya al-Futuhat al-Makkiyah:[12] “Al-hamdulillah, kita tidak bertaklid, kecuali dengan Nabi al-Syari‘ (s.a.w.)”.
Rujukan : http://www.muftins.gov.my/v1/en/2019/...
| Subscribe | Like | Notification | Share.
Информация по комментариям в разработке