SULTAN IBRAHIM DITABAL DALAM ISTIADAT PENUH TRADISI

Описание к видео SULTAN IBRAHIM DITABAL DALAM ISTIADAT PENUH TRADISI

SULTAN IBRAHIM DITABAL SEBAGAI YANG DI-PERTUAN AGONG KE-17 DALAM ISTIADAT PENUH TRADISI

KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam istiadat yang berlangsung penuh tradisi dan adat istiadat di Balairung Seri Istana Negara, hari ini (20 Julai).

Laungan ‘Daulat Tuanku’ dan tembakan meriam 21 das bergema di Istana Negara menandakan penyempurnaan istiadat pertabalan Sultan Ibrahim.

Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini, Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara mengetuai laungan 'Daulat Tuanku' di dalam Balairung Seri, manakala tembakan meriam dilepaskan sejurus Sultan Ibrahim menyempurnakan lafaz ikrar sebagai Yang di-Pertuan Agong.

KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berangkat mengiringi Yang di-Pertuan Agong dalam istiadat penuh bersejarah ini.

Berangkat sama, Sultan Brunei KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan isteri Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

Turut berangkat, Raja Bahrain Raja Hamad Bin Isa Bin Salman Al-Khalifa dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu serta wakil-wakil Baginda.

Turut berangkat sama, DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor dan YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor serta DYAM Tunku Iskandar Ibni Tunku Ismail, Raja Muda Johor.

YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor; YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor; YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor; YAM Tunku Tun Aminah Binti Sultan Ibrahim serta suami, Dato’ Dennis Muhammad Abdullah juga berangkat ke istiadat itu.

Berangkat sama kekanda Yang di-Pertuan Agong, YAM Tunku Puteri Dr Kamariah Binti Almarhum Sultan Iskandar dan YAM Tunku Besar Zabedah Binti Almarhum Sultan Iskandar.

Istiadat pertabalan juga menyaksikan kehadiran Dato' Lee Hsien Loong, Menteri Kanan Singapura dan isteri Datin Paduka Ho Ching.

Hadir sama, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri; Timbalan-Timbalan Perdana Menteri; Menteri-Menteri Kabinet, ketua-ketua perwakilan asing ke Malaysia serta ketua-ketua Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor.

#IstiadatPertabalanYDPA17
#InstallationofTheKing
#YDPAgong17
#IstanaNegara

Комментарии

Информация по комментариям в разработке