Universiti Malaysia Terengganu (UMT) merupakan sebuah institusi pengajian tinggi awam yang terletak secara strategik di pesisir Pantai Laut China Selatan. Dengan pemandangan lautan yang indah, UMT terkenal sebagai universiti yang menawarkan paling banyak program pengajian dalam bidang Marin dan Maritim di Malaysia. Keunikan lokasi ini menjadikan UMT pintu gerbang utama kepada kecemerlangan ilmu dalam bidang sains marin dan sumber akuatik, sekaligus menyediakan suasana pembelajaran yang inspiratif bagi pelajar yang ingin meneroka dunia kelautan secara lebih mendalam dan praktikal.
Sebagai universiti berfokuskan penyelidikan, UMT mempunyai pelbagai pusat kecemerlangan yang bertaraf dunia. Antaranya ialah Institut Oseanografi dan Alam Sekitar (INOS) serta Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP), kedua-duanya diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan Institusi Pengajian Tinggi (HICoE). Selain itu, Pusat Logistik dan Pengangkutan Maritim Malaysia (MaLTraC) dan Program Pelabuhan Pengajaran turut diwujudkan untuk memenuhi kehendak industri berkaitan marin. UMT juga dilengkapi kemudahan canggih seperti RV Discovery untuk penyelidikan oseanografi, Pangkalan Data Marin yang diiktiraf UNESCO, dan Sistem Ramalan Marin Malaysia (MFAST), iaitu sistem ramalan laut pertama di negara ini.
Pengalaman pembelajaran di UMT tidak hanya tertumpu di bilik kuliah, malah turut diperluaskan ke alam semula jadi melalui aktiviti penyelidikan dan pemuliharaan di lokasi-lokasi eksklusif seperti Pulau Bidong, Pulau Redang, Tasik Kenyir, Paya Laut Setiu, dan Bukit Kor. Program khas seperti Survival Air dan Penghayatan Warisan, serta Sekolah Menyelam UMT yang bertaraf lima bintang, membuka peluang kepada pelajar untuk menghayati keindahan dunia bawah laut sambil mempelajari teknik penyelaman profesional. Aktiviti seperti pembiakan batu karang dan penyelidikan penyu laut juga menambahkan keunikan pembelajaran berasaskan ekosistem marin yang menjadi kebanggaan universiti ini.
Bagi memastikan keselesaan pelajar, UMT turut menyediakan pelbagai kemudahan lengkap dan moden. Antara kemudahan tersebut termasuklah Kompleks Pelajar, Dewan Sultan Mizan untuk majlis rasmi dan konvokesyen, Kolej Kediaman yang mampu menempatkan lebih 4,500 pelajar, Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, serta Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah yang menjadi nadi ilmu pengetahuan. Selain itu, Pusat Islam Sultan Mahmud berperanan sebagai pusat komuniti bagi pelajar dan masyarakat setempat. Dalam usaha memperkasa pendidikan masa kini, UMT turut memperkenalkan Massive Open Online Courses (MOOC) dan bilik darjah interaktif bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang fleksibel, moden dan kondusif.
UMT juga aktif membina jaringan kerjasama antarabangsa melalui program pertukaran pelajar, penyelidikan bersama, dan persidangan global bagi melahirkan graduan yang berdaya saing di peringkat antarabangsa. Sehingga kini, UMT telah melahirkan lebih 35,000 graduan dalam pelbagai bidang, sekali gus menyumbang kepada pembangunan sumber manusia negara. Kesungguhan UMT dalam menggabungkan kecemerlangan akademik dengan pengalaman pengembaraan lautan serta penyelidikan inovatif menjadikannya sebuah universiti yang bukan sahaja memacu ilmu, tetapi turut mencipta impak positif kepada alam sekitar dan masyarakat sejagat.
Информация по комментариям в разработке